Monday, August 26, 2013

Hukum qada dan puasa enam syawal serentak



Berikut ialah artikel oleh Profesor Madya Dr Abdul Hayei Abdul Sukor, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan penerima anugerah maulidurrasul kebangsaan 2011.


Soalan

4. Bolehkah diniatkan serentak antara puasa qada dan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal? - Bashir, Segambut, Kuala Lumpur.


Jawapan:

Menjawab soalan terakhir iaitu bolehkah diniatkan serentak antara puasa qada dan sunat enam hari dalam bulan Syawal? Saya perturunkan di sini terjemahan fatwa Syeikh Atiyyah Saqar, Pengerusi Majlis Fatwa, al-Azhar, Mesir, katanya: Harus bagi mereka yang menanggung qada puasa Ramadan berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, tetapi niatnya hendaklah qada. Jika diniat dan dilakukan berasingan, nescaya lebih afdal, iaitu qada dan sunat pada hari-hari yang terpisah.

Katanya lagi: Ulama Syafie berpendapat pahala puasa sunat Syawal diperoleh secara automatik, apabila seseorang melakukan qada puasa dalam bulan Syawal, sama ada dia niat atau tidak diniatkan puasa sunat itu.
Dalam al-Syarqawi ala al-Tahrir 1/127, sebuah kitab dalam mazhab Syafie menyatakan: Jika seseorang berpuasa qada, nazar atau apa jua puasa dalam bulan Syawal, nescaya berhasil pahala puasa enam hari dalam bulan Syawal kerana yang dikehendaki hanya berpuasa dalam bulan itu sahaja.
Pendapat ini bertepatan dengan hadis Abu Ayyub yang menyatakan kelebihan puasa enam hari dalam bulan Syawal itu tidak mengenakan sebarang syarat tambahan. Hadis hanya menyebutkan yang maksudnya: Sesiapa berpuasa enam hari dalam bulan Syawal...
Oleh itu wajar dikekalkan atas keterangan yang mutlak dan bebas supaya apa jua puasa yang terkena dalam bulan Syawal, dikira memenuhi kehendak puasa enam hari dalam bulan itu.



Wassalam.